Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tapi lindungi perasuah

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyinggung soal tindakan tegas terhadap salah laku rasuah, menyifatkan negara tidak akan selamat jika tiada tindakan diambil terhadap golongan ini.

Menurutnya, beliau sebagai Perdana Menteri tidak mahu melindungi penjenayah mahupun perasuah.

Oleh itu, beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengikut fakta yang jelas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status demi menegakkan keadilan.

“Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau perasuah. Jadi pastikan tindakan itu profesional, adil dan tidak menghukum sebelum ada fakta dan lihat kepada sudut undang-undang.

“Saya singgung perkara ini secara langsung dalam majlis ini kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga.

“Jadi jaminan itu penting supaya ada perasaan semua rakyat, baik ahli sukan ataupun penjawat awam bahawa ada tindakan tegas,” katanya seperti dilapor Bernama ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar berkata ramai dalam kalangan rakyat berasa resah dan mengeluh apabila siasatan kes jenayah dan rasuah mengambil masa yang lama, namun rakyat juga harus faham langkah itu bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

BACA JUGA Kantoi dah dapat ‘fleet card’ tapi umum naik harga, KPDN panggil 10 syarikat