Pas pun kena tanggung, janji minyak turun dibuat Pakatan Rakyat
OLEH JAMZURI ARDANI
Isu perlaksanaan subsidi bersasar adalah peluru politik yang sangat diharapkan oleh pembangkang untuk membangkit gelombang menentang Kerajaan Madani.
Jika peluru ini gagal dimanfaatkan oleh pembangkang, ini petanda jelas kemerosotan pengaruh politik pembangkang.
Sebab itu mereka menyebar pelbagai propaganda dan pembohongan.
Mereka kata kerajaan menaikkan harga diesel. Padahal mereka pun tahu, kerajaan bukan jual diesel.
Harga diesel ditentukan oleh pasaran. Sebelum ini kerajaan membayar perbezaan harga pam dengan harga pasaran dengan skim subsidi pukal.
Sekarang kerajaan menukar kaedah pembayaran perbezaan harga pam dengan harga pasaran melalui skim subsidi bersasar.
Harga diesel di pasaran tetap ditentukan oleh pasaran yang sama, hanya kaedah pembayaran subsidi sahaja yang berbeza.
Selepas itu mereka mengungkit janji-janji pemimpin PH yang dulu kononnya jika PH menang harga minyak akan turun. Kononnya pemimpin PH berbohong.
Setahu saya, janji penurunan harga minyak dibuat oleh Pakatan Rakyat di dalam manifesto pada PRU13.
Waktu itu Pakatan Rakyat terdiri dari Pas, PKR, dan DAP.
Maknanya Pas juga bertanggungjawab terhadap janji tersebut. Tetapi mereka baling batu sembunyi tangan.
Memang ada satu video ucapan Anwar mahu turunkan harga minyak dalam kempen PRU15.
Untuk rekod, PH tidak lagi menjanjikan penurunan harga minyak di dalam manifesto PRU14 dan PRU15 yang lepas kerana jumlah kos subsidi yang ditanggung kerajaan sudah terlalu tinggi, tidak sama dengan keadaan semasa PRU13.
Ucapan-ucapan Anwar tersebut adalah respon beliau terhadap soalan sebelumnya yang menyebut kenapa PH tidak turunkan harga minyak selepas menang pada 2018, maka Anwar menjawab dia bukan PM masa itu dan jika dia dilantik PM dia akan turunkan harga minyak.
Katanya lagi dengan harga minyak ‘sekarang’ dia boleh turunkan harga minyak.
Saya fikir Anwar telah melakukan sedikit ‘slip of the tongue’ ketika menjawab soalan tersebut.
Saya percaya yang beliau maksudkan ialah dia bukan PM pada waktu itu dan dengan harga minyak pada ‘waktu itu’ dia boleh turunkan harga minyak.
Saya tidak fikir beliau berhasrat menjanjikan begitu kerana beliau pun tahu PH sudah menggugurkan janji tersebut dalam manifesto PRU15.
Beliau pun tidak lagi mengulangi kata-kata itu dalam mana-mana siri kempen selepas itu.
Tidak ada mana-mana pemimpin PH lain yang menjanjikan penurunan harga minyak dalam kempen PRU15 lepas.
Ucapan Rafizi berkenaan janji penurunan harga minyak hanya dibuat semasa kempen PRU13 oleh Pakatan Rakyat.
Hanya Anwar dan hanya dalam satu ucapan yang menjawab soalan sahaja. Give him the benefit of the doubt that he didn’t intentionally give misleading promises.
BACA JUGA Ustaz Don nafi sebut pasal hadis, tampil bersuara apa dah berlaku