PM Anwar umum berita baik hari ini

Berita baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diuar-uarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah pun diumumkan.

Antaranya ialah penurunan harga telur.

“Selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat, Kerajaan memutuskan supaya harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

“Kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuatkuasa mulai Isnin, 17 Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

“Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan.”

Anwar turut mengumumkan pengekalan Harga minyak masak sawit mentah.

“Kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak Kerajaan ini mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.

“Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga
RM33-RM35.

Beliau turut mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan subsidi. Apa yang membezakan subsidi sekarang ialah ia lebih tersasar.

“Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya. Malah, Kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.”

BACA JUGA: Naik harga: Tiga syarikat pengangkutan bakal terima padah

Â