Gempar Speaker DUN Kelantan umum kerusi DUN Nenggiri kosong berkuatkuasa serta merta
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri yang diduduki Mohd Azizi Abu Naim kosong bermula hari ini.
Mohd Ammar yang juga bekas menteri besar Kelantan berkata, keputusan itu susulan notis bertulis daripada Bersatu pada 12 Jun dan Mohd Azizi pada 13 Jun yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu, seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.
“Selepas meneliti dan berpuas hati dengan surat pemakluman itu, maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili oleh Mohd Azizi.
“Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” katanya ketika mengisytiharkan perkara itu.
Jelas beliau lagi, surat pemakluman itu akan disampaikan kepada SPR hari ini.
“Dari segi peraturannya, kita akan ada pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula hari ini,” katanya.
Mohd Azizi, yang juga ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama lima ahli Parlimen dan seorang lagi Adun Bersatu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ialah Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari.
BACA JUGA “Kalau nak cari buruk, cari lah…”, Dr Hafidzah sekolahkan warganet