Notis kekosongan DUN Nenggiri sudah diterima, SPR akan mesyuarat 28 Jun ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri Undangan (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diadakan pada 28 Jun ini membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azizi Abu Naim

Terdahulu, Mohd Amar dalam sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini selepas Mohd Azizi hilang keahliannya dalam Bersatu.

Azizi adalah salah seorang daripada enam wakil rakyat Bersatu yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas pengumuman Speaker DUN Kelantan berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya, Azizi berkata, beliau tidak terkejut kerana sudah menjangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku.

Bagaimanapun, Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

BACA JUGA Durian segar kini boleh dieksport ke China