Selepas heboh direhatkan terus daripada Salam Baitullah, Ustaz Don dikecam isu puasa hari Tasyrik

Baru sahaja berlalu kontroversi dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, pendakwah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dikecam lagi orang ramai.

Semuanya gara-gara jawapannya di sebuah stesen radio swasta berhubung ibadah puasa sunat pada hari Tasyrik.

Jawapan Ustaz Don itu didakwa mengelirukan kerana umat Islam diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik pada 11,12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18,19 dan 20 Jun 2024.

Susulan itu, Ustaz Don, 40, tampil membuat permohonan maaf di media sosialnya.

Ujarnya, penjelasan itu agak mengelirukan kerana soalan yang diajukan adakah tidak boleh berpuasa pada hari raya pertama maka jawapan diberikan berdasarkan hari raya pertama sahaja.

“Soalan itu ditanya, Ustaz boleh puasa tak pada hari raya Aidiladha jadi masa saya rakam kami tanya ini hari raya pertama sahajakah? Jadi, dia kata ya, dan jawapan nak bagi ringkas.

“Jawapan yang betul sepatutnya hari raya Aidiladha dan Aidilfitri raya pertama tidak boleh puasa, berbeza dengan Aidiladha ada hari Tasyrik.

“Jadi, bila jadi begitu panjang huraian dia, saya minta maaf sebab jawab mengelirukan,” katanya lagi.