Sindiket seludup syabu dan ketamin tumpas, jumlah rampasan mengejutkan

Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah membabitkan 308 kilogram syabu dan 73 kilogram (kg) ketamin bernilai RM13.5 juta di sebuah rumah teres sekitar Puchong, Selangor kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia berjaya dilumpuhkan selepas pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengedar.

“Dia mendapat upah sebanyak RM6,000 untuk buat kerja itu.

”Modus operandi adalah menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan stor simpanan dadah dan di situ juga suspek warga tempatan terbabit membuat kerja pembungkusan.

“Hasil semakan terhadap suspek bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod lampau serta negatif dadah,” katanya memetik portal Buletin TV3.

Mengulas lanjut, polis turut menyita sebuah kenderaan yang mempunyai ruangan khas bagi memuatkan 80kg dadah.

”Kesemua dadah yang dirampas mampu membekalkan seramai 1.8 juta penagih bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.

”Polis bagaimanapun sedang memburu beberapa lagi suspek sindiket termasuk individu yang merupakan penyewa rumah tersebut bagi membantu siasatan,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Kerajaan lulus RM5 juta laksana operasi pembenihan awan di Kelantan