Pening, ahli Bersatu, bertanding tiket Pas, bila dipecat hilang kerusi
Pening apabila ahli Bersatu tetapi bertanding atas tiket Pas. Itu yang berlaku apabila Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan.
Pempengaruh dari Kelantan, Wan Mahussin Wan Zain berkata, kemusykilan timbul memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim (gambar atas) adalah ahli Bersatu.
Katanya, beliau dilucutkan sebagai ahli Bersatu serta kerusi yang ditandinginya adalah menggunakan tiket, logo dan bendera Pas malah watikah juga daripada Pas.
“Jadi, apabila Speaker mengarahkan kerusi itu dikosongkan bermakna Pas telah membuang calon Pas.
“Kalau ikut Akta Anti Lompat parti, ahli yang dipecat boleh membawa kerusi dan kerusi itu dianggap tidak kosong. Ini yang pelik.
“Dia ahli Bersatu, dipecat sebagai ahli Bersatu tetapi bertanding atas tiket Pas tiba-tiba diarahkan untuk dikosongkan,” katanya menerusi akaun TikTok beliau.
Wan Mahussin berpendapat Azizi boleh membawa kerusi yang diwakilinya sebagai Bebas dan berhak memilih gabungan mana-mana parti yang diingini.
“Itulah Bersatu, kesilapan kamu, dungu. Elok-elok ada Perikatan Nasional, beri Ruang kepada Pas guna logonya.
“Tengok, sekarang ini dah jadi masalah. Ahli Bersatu bertanding atas tiket Pas,” kata Wan Mahussin lagi.
Semalam, Mohd Amar berkata, keputusan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu.
Pada sidang media di pejabatnya di Kota Bharu itu, Mohd Amar memaklumkan bahawa menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan.
Sebelum ini, Azizi dan lima lagi Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu mengikrar sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lima wakil rakyat Bersatu yang sudah digugurkan keahliannya serta-merta itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.
BACA JUGA 11 fakta dinafi golongan yang menyalak kerajaan ‘Mahaldahni’
Â