Wang RM24.2 juta lesap, ini penegasan Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa semua pemegang akaun yang terjejas dalam kes kecurian wang daripada beberapa akaun simpanan tetap membabitkan kerugian berjumlah RM24.2 juta, perlu mendapat bayaran balik dengan segera.

Bank pusat itu memandang serius semua laporan berkaitan pengeluaran wang tunai tidak sah secara besar-besaran yang membabitkan pekerja institusi kewangan dan pihak luar.

“Integriti individu yang bekerja dengan institusi kewangan adalah perkara yang amat penting,” kata BNM, dipetik Bernama.

Polis setakat ini sudah menahan 14 individu, termasuk empat kakitangan bank bagi membantu siasatan kes itu.

Terdapat empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor, selepas mangsa menyedari pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Dalam masa sama, BNM turut mengingatkan bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakan kawalan yang kukuh untuk melindungi dana pelanggan serta integriti sistem kewangan.

“Ini termasuk sebagai contoh, keperluan untuk institusi kewangan menguatkuasakan kod etika yang kukuh.

“Institusi kewangan juga perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan saringan terhadap bakal pekerja sebelum menerima mereka untuk berkhidmat,” katanya.

Bahkan, BNM berkata, individu yang mempunyai rekod kesalahan serta tidak jujur adalah dilarang daripada berkhidmat dengan mana-mana institusi kewangan.

Sehubungan itu, BNM mengingatkan mana-mana institusi yang terbabit dalam siasatan berkaitan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan bertindak mengambil tindakan tatatertib yang tegas berdasarkan hasil siasatan dalaman.

“BNM juga menasihatkan pengguna untuk segera melaporkan sebarang transaksi tidak sah atau mencurigakan kepada bank masing-masing atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sebaik menyedari kejadian itu selain laporan kepada pihak polis,” katanya lagi.

BACA JUGA Hilang di perbatasan Malaysia-Brunei, mana Prebet Muhammad Syafiq?

Â