Biadab gelar PM sebagai rakan subahat zionis Israel

Menggelar Perdana Menteri sebagai rakan subahat zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadab, tegas Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan tidak pernah mempertahan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim yang sedang melakukan keganasan di Palestin itu.

“Pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahan serta membela nasib rakyat di Palestin.

Muhammad Kamil berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas Menteri Kabinet Khairy Jamaluddin yang mendakwa penglibatan BlackRock, sebuah firma yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menurutnya, Khairy boleh mengkritik tetapi pada masa sama, beliau harus lebih bertanggungjawab, tidak hipokrit dan tidak terbawa-bawa dengan emosi dalam mengeluarkan kenyataan.

Jelasnya, MAHB melalui Khazanah sudah memberi penjelasan iaitu rundingan telah diadakan dengan pihak Global Infrastructure Partners (GIP) iaitu sebuah konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih MAHB pada 15 Mei lepas.

“BlackRock hanya muncul pada tahun ini apabila berhasrat mengambil alih pegangan saham GIP.

“Dalam hal ini, Khazanah mahupun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tidak pernah berunding dengan mana-mana wakil daripada BlackRock.

“Khazanah dan KWSP tidak menjual MAHB kepada entiti asing sebaliknya terus meningkatkan pegangan sahamnya hingga 70 peratus.

“Malah aset strategik ini juga akan terus dimiliki negara melalui Golden Share oleh Kerajaan Malaysia,” jelasnya.

GIP adalah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Ia juga memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar serta paling rumit di dunia termasuk beberapa lapangan terbang.

BACA JUGA Wang RM24.2 juta lesap, ini penegasan Bank Negara Malaysia

Â