Pas tersalah pilih calon, kini jadi perbualan hangat pengundi Sungai Bakap

Walaupun Pengarah Pilihan Raya Pas cuba untuk menutup kelemahan calon Pas di Sungai Bakap, namun isu pendidikan yang dimiliki oleh calon berkenaan terus menjadi isu utama di kalangan penduduk di sini.

Tangkap layar perbualan dalam kumpulan WhatsApp Unit Daerah Mengundi (UDM) Pas Sungai Duri, tempat asal calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, kini tular di kalangan penduduk.

Menurut petugas pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang turun bertemu penduduk di Sungai Bakap, kebanyakan penduduk di sana bercakap soal kegagalan PN khasnya Pas memilih calon yang tepat.

“Di mana-mana pun masyarakat dan pengundi Sg Bakap bersembang, baik di pejabat, di sekolah, di masjid dan di kedai-kedai kopi, rata-rata bercakap mengenai kegagalan Pas Negeri dan Pas Kawasan untuk memilih calon.

“Biarpun nampak bersungguh Sanusi, selaku Pengarah Pilihanraya Pas Pusat cuba untuk menjustifikasikan pemilihan Abidin sebagai calon, namun suara-suara di belakang tabir sukar untuk ditahan,” kata Mohamad Yahya, Pengarah Komunikasi PH Perlis yang sejak sebelum penamaan calon berada di Sungai Bakap.

Menurut perbualan kumpulan whatapps yang tular itu, Pas Kawasan telah mencadangkan agar Setiausaha Perhubunghan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim sebagai calon PN untuk pilihan raya kecil kali ini.

Ia telah dipersetujui oleh Pas Pulau Pinang. Namun apabila dibawa kepada Perikatan Nasional (PN), Bersatu dan Gerakan menolak calon Pas itu.

Sebelum pilihan raya umum lalu, kecoh di Pulau Pinang apabila Pas menghalang Presiden Gerakan, Dominic Lau untuk menyertai satu majlis Pas di negeri itu.

Iszuree dikatakan terlibat dalam insiden berkenaan.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor berkata, Pendidikan tidak menjadi faktor penting bagi menjadikan seseorang pemimpin politik yang cemerlang.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas kelulusan akademik calon Pas di Sungai Bakap selepas diasak para wartawan.

Pas tidak meletakkan kelayakan akademik calonnya dalam biodata calon yang bertanding di Sungai Bakap.

Ia telah menimbulkan tanda tanya pengundi apakah kelulusan akademik calon berkenaan kerana PH meletakkan calon yang mempunyai ijazah PhD.

Â