Jawapan penuh PM Anwar di Dewan Rakyat terhadap isu BlackRock
Datuk Mohd Shahar Abdullah (PN-Paya Besar) meminta Perdana Menteri memberi penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Teks penuh jawapan Perdana Menteri seperti berikut;
Kerajaan Madani telah menyatakan dan kekal teguh dalam pendirian kami terhadap serangan yang tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Kerajaan tiada halangan kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk melabur di negara kita.
Tetapi yang kita larang adalah syarikat milik Israel. Sebagai contoh syarikat perkapalan ZIM milik Israel yang telah kita sekat daripada berlabuh di negara kita sejak Disember 2023.
Dalam hal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Konsortium yang diterajui pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memilih GIP kerana menepati kriteria berikut:
i. Pemilikan kepakaran teknikal dalam pengendalian lapangan
terbang dan kekuatan kewangan untuk melaksanakan transaksi dan pelaburan besar;
ii. Rekod pencapaian yang kukuh dalam transformasi lapangan terbang;
iii. Kesanggupan untuk mengambil kepentingan minoriti;dan
iv. Kesanggupan untuk keluar setelah usaha transformasi tersebut membuahkan hasil.
Sebagai tambahan, KWSP telah melabur dengan GIP dalam aset-aset infrastruktur sejak tahun 2012.
Antara aset-aset yang dilabur dalam kerjasama ini termasuklah lapangan terbang Sydney, Australia dan Lapangan Terbang Gatwick, London.
BlackRock, Inc. ialah pengurus aset terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) $10.5 trilion (setakat 31 Mac 2024) Bersamaan dengan RM49.35 Trillion; 1 AS$ = RM4.70.
Ia memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di seluruh dunia.
Sebahagian besar portfolio BlackRock dikhususkan untuk pelaburan berkaitan indeks yang pasif, ini termasuk gergasi teknologi seperti Apple, Facebook dan Google.
Di pasaran Amerika Syarikat, pegangan BlackRock dalam setiap syarikat terbesar S&P500 secara purata adalah sekitar 7.35%.
BlackRock telahpun berada di Malaysia sejak tahun 1990-an. Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka setakat Mei 2024, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi sektor industri, dengan tiga (3) entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini.
Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 billion di Malaysia iaitu:
i. RM20.5 billion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia;dan
ii. sekitar RM7.0 billion dalam Bon kerajaan dan Korporat di Malaysia.
Pada tahun 2021, BlackRock juga telah dipilih oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Menerusi peruntukan itu, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian – BlackRock, HarbourVest Partners LLC, dan Partners Group AG.
Tambahan, usaha ini telah bermula sejak tahun 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada tahun 2021.
Pihak Konsortium juga telah menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung MAHB. Pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh
dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka, termasuklah MAHB seandainya transaksi ini dimuktamadkan nanti.
Memandangkan lapangan terbang memainkan peranan yang amat penting dalam pertumbuhan ekonomi negara, usaha pembaharuan dan transformasi MAHB wajar dilaksanakan dengan kadar yang segera berdasarkan pada statistik berikut:
i. Sebelum pandemik melanda, kemasukan pelancong ke Malaysia (tidak termasuk mereka yang melakukan perjalanan harian) dalam tempoh 10 tahun hanya berkembang pada kadar 1% setahun berbanding negara-negara jiran serantau pada kadar 8% setahun;
ii. Bagi segmen penerbangan jarak jauh, Malaysia hanya menawarkan 22 laluan pada 2023, berbanding 40 yang ditawarkan Singapura dan 55 yang ditawarkan Thailand; dan
iii. Dari segi pelaburan pula, MAHB hanya membelanjakan RM1.4 bilion dalam tempoh 5 tahun yang lalu berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan RM12 bilion oleh Indonesia.
Atas dasar inilah, konsortium tersebut yang diterajui oleh Khazanah dan KWSP, selepas ini akan memiliki majoriti 70% pegangan bersama dalam MAHB.
Mereka telah mengemukakan tawaran bagi mengambil alih dan menswastakan MAHB untuk memudahkan pembaharuan yang diperlukan ini dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.
Baki 30% pegangan di bawah konsortium ini pula akan dimiliki oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP yang hadir dengan pengalaman dan kepakaran teknikal dalam pengendalian operasi lapangan terbang antarabangsa.
Konsortium tersebut beranggap bahawa penswastaan MAHB merupakan langkah yang terbaik kerana ia membolehkan sebarang keputusan dan pelaburan jangka panjang dibuat pada kadar yang lebih pantas.
Antara fokus utama yang akan diberikan tumpuan oleh konsortium berkenaan adalah seperti berikut:
i. Menyiapkan projek bermodal berkeutamaan tinggi;
ii. Meningkatkan pengalaman penumpang di semua lapangan
terbang;
iii. Bekerjasama dengan syarikat penerbangan;
iv. Mempercepatkan pelaburan modal;dan
v. Membangunkan perniagaan sampingan di sekitar lapangan terbang.
15. Kerajaan percaya usaha transformasi MAHB ini sekiranya
membuahkan hasil nanti akan dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan dan penumpang, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan memberi pulangan kepada Kerajaan.
Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan ini merupakan urusan transaksi komersial.
Perbincangan yang telah dijalankan oleh wakil-wakil konsortium juga tidak melibatkan BlackRock.
Kerajaan juga dimaklumkan oleh wakil-wakil daripada konsortium bahawa meskipun setelah GIP diambil alih oleh BlackRock nanti, pengurusan GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategik GIP serta syarikat-syarikat yang dilabur.
Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock.
ADIA bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30% dalam MAHB. Segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium.
Justeru itu, transaksi in tidak melibatkan BlackRock sama sekali.
Kerajaan juga mengambil perhatian terhadap kenyataan akhbar oleh pakar yang dilantik Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Jun 2024 yang bertajuk “Negara dan syarikat mesti menamatkan pemindahan senjata ke Israel dengan segera atau berisiko mencabuli hak asasi manusia”.
Ini merupakan inisiatif baik oleh organisasi tersebut untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat pembekal senjata tertentu untuk menghentikan isu kemanusiaan di Palestin selari dengan sekatan yang dijalankan oleh negara Amerika
Syarikat terhadap beberapa buah negara, entiti dan individu di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, isu ini dipolitikkan di luar konteks oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
BACA JUGA Diesel untuk motosikal, habis Tuan Ibrahim dipermainkan