Kumpulan pertama jemaah haji selamat kembali ke tanah air, TH diiktiraf Anugerah Labbaittom

Seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat kembali ke tanah air apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.10 malam tadi.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussin.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Jemaah haji negeri Kedah dan Kelantan terbabit berlepas daripada Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan penerbangan AMAL Malaysia Airlines MH 8251.

Mohd Na’im berkata, beliau bersyukur dan berpuas hati dengan komitmen TH dalam memastikan kelancaran proses urusan haji tahun ini.

Walaupun menghadapi beberapa keadaan yang mencabar seperti cuaca panas terik namun katanya, kesemua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan mempamerkan tahap disiplin yang tinggi.

“Setakat hari ini seramai 18 jemaah Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci disebabkan serangan jantung dan jangkitan kuman dan tiada seorang pun yang mengalami strok haba,” katanya, dipetik BH.

Untuk rekod, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia daripada 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat Rukun Islam kelima tersebut tahun ini.

Mereka berdepan cuaca panas melampau dengan Mekah menyaksikan suhu pernah meningkat sehingga 51.8 darjah Celsius pada 17 Jun lalu.

Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, TH juga sudah melaksanakan badal haji secara percuma kepada lapan jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat melakukan wukuf di Arafah.

Jelasnya, kesungguhan dipamerkan oleh TH ini terbukti dengan pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut.

Na’im Mokhtar ketika ditemui pemberita di KLIA malam tadi.

Sementara itu, Syed Hamadah dalam kenyataan berkata, TH akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah negara dan membuat penilaian teliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pada musim haji akan datang.

Menurutnya, matlamat dan objektif yang digariskan untuk operasi haji kali ini telah Berjaya dicapai antaranya TH telah membantu menyelaras supaya hampir kesemua jemaah haji dapat melaksanakan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah.

Katanya, seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas yang diubahsuai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu.

“TH komited dalam memastikan keselesaan dan keselamatan para jemaah terjamin sepanjang melaksanakan ibadah haji dan atas beberapa pembaharuan serta inisiatif yang diadakan telah memungkinkan operasi haji kali ini berjalan dengan lancar dengan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Penerbangan akhir jemaah haji Malaysia dijangkakan akan berlepas pada 20 Julai depan.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan pihak AMAL oleh Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji bagi operasi haji tahun 1445 Hijrah/2024 ini.

BACA JUGA Enggan ulas dakwaan tipu ‘resume’, calon PN jawab “ada kuasa Tuhan…”