MAHB tidak pernah dijual kepada pihak asing – PM

Perdana Menteri menegaskan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan terus kekal menjadi milik Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit.

Malah, katanya, pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 70 peratus, meningkat berbanding 40 peratus sebelumnya.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi MAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.

Terdahulu, isu pemilikan sebahagian saham dalam MAHB oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang ada kepentingan Blackrock Inc (Blackrock) hangat diperkatakan.

BACA JUGA Ramai kahwin tak mahu anak, ini penegasan Mufti Wilayah Persekutuan