KPM berjaya pujuk 399 calon tak hadir SPM ambil semula peperiksaan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya memujuk seramai 399 daripada 10,160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir tahun lalu untuk mengambil semula peperiksaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, KPM menjalankan usaha mengesan mereka hasil kerjasama sekolah dan ibu bapa dengan memberi galakan serta kesedaran.

“Dalam usaha ini, KPM berjaya menarik kembali 399 calon tak hadir untuk menduduki SPM tahun ini. Ini merupakan sedikit hasil KPM dengan sekolah dan ibu bapa,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung langkah KPM untuk mengatasi isu ketidakhadiran calon SPM.

Pada masa sama beliau berkata, angka calon tidak hadir SPM tahun 2023 menurun berbanding pada 2022 yang mencatat 14,858 calon tidak hadir.

“KPM komited menangani isu ketidakhadiran murid dalam SPM. Seramai 10,160 orang atau 2.6 peratus daripada jumlah calon tidak hadir menduduki peperiksaan. Angka ini berbanding pada tahun 2022, 14,858 orang bersamaan 3.8 peratus tidak hadir.

“Dengan kata lain angka tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.2 peratus atau 4,698 orang,” ujarnya.

Beliau berkata mengikut statistik seramai 8,676 calon tidak hadir daripada sekolah KPM manakala 1,263 (calon persendirian), 221 (calon sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta).

Menurut Wong, kategori paling ramai membabitkan calon telah berhenti sekolah iaitu seramai 3,858 orang.

BACA JUGA PMX akhirnya dedah tipu daya pembangkang isu MAHB, GIP dan BlackRock