Selepas Sultan murka, MFL jawab ada alasan kukuh hukum Selangor FC

Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini tampil menjelaskan mengenai sebab hukuman ‘berat’ yang dikenakan ke atas Selangor FC.

Semalam, MFL mengenakan denda sebanyak RM100,000 selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 ke atas Selangor FC.

Tindakan itu susulan tindakan pasukan berkenaan ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Wang denda RM100,000 itu akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Satu lagi hukuman ke atas skuad yang dikenali Red Giants itu adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor FC tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih itu susulan insiden yang malang yang menimpa tonggak utama pasukan, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei lalu.

MFL dalam reaksinya mengenai hukuman itu mendakwa mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk menghukum Selangor dengan tindakan demikian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam, Selangor boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.

“Selangor mempunyai hak untuk merayu. Kami memahami bahawa tiada siapa yang akan gembira dengan hukuman oleh penganjur liga, dan mereka boleh merayu supaya proses itu boleh dibawa ke peringkat seterusnya.

“Lembaga Pengarah (MFL) memutuskan perkara No. 4 berdasarkan pulangan komersial. Sebagai contoh, apabila perlawanan tidak dimainkan di Johor, tiada pendapatan atau keuntungan daripada perlawanan berkenaan.

“Jadi, perlawanan timbal balik juga tidak seharusnya memberikan keuntungan kepada pasukan yang terbabit.

“Ia adalah soal keadilan komersial. Satu pasukan tidak mendapat keuntungan daripada tidak menghadiri satu perlawanan, tetapi mendapat keuntungan daripada perlawanan timbal balik.

“Asas keputusan Lembaga Pengarah adalah kemenangan percuma dalam perlawanan nombor satu (Perlawanan Sumbangsih).

“Pampasan dibayar untuk menampung kos, tetapi pasukan yang mendapat kemenangan percuma tidak mempunyai peluang untuk meraih pendapatan.

“Seperti yang kita tahu, kelab bola sepak di Malaysia bergantung kepada pendapatan ini. Keuntungan daripada perlawanan besar digunakan untuk membayar banyak bil,” kata Stuart.

Jelasnya, Selangor FC masih melalui saluran yang ditetapkan dalam undang-undang bola sepak terlebih dahulu sebelum membawanya ke mahkamah sivil atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Ia adalah proses undang-undang. Kami buat keputusan berdasarkan peraturan dan mekanisme bola sepak.

“Saya tidak mahu membuat andaian mengenai apa yang dimaksudkan oleh Selangor dalam kenyataan media mereka. Mereka kata mereka akan melihat saluran yang bersesuaian.

“Mereka mempunyai tiga hingga empat hari untuk mengemukakan rayuan. Mereka perlu melalui proses rayuan.

“Ia adalah langkah biasa. Mereka boleh membawanya ke mahkamah sivil atau CAS selepas itu,” katanya lagi.

BACA JUGA Sudah 56 tahun terlibat dalam arena bola sepak, Sultan Selangor amat murka keputusan MFL