ADUN Pas ‘berani mati’, buat 5 fitnah dalam 3 minit berceramah

ADUN Sungai Burung, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin bertindak semberono apabila berani melemparkan fitnah bertalu-talu terhadap Perdana Menteri ketika ceramah kempen PRK DUN Sungai Bakap minggu lalu.

Video ucapannya diulang siar banyak kali di media sosial dan dengan jelas memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai tohmahan yang dianggap melampau oleh penyokong kerajaan.

Antara fitnah yang disebut dalam video berdurasi 3 minit itu adalah Anwar merupakan anak angkat Amerika Syarikat.

Selain itu, Mohd Zamri mendakwa pelobi yahudi telah masuk ke Malaysia dan dilantik sebagai penasihat di Kementerian Kewangan.

“Pelobi-pelobi Yahudi telah masuk, difahamkan, sebagai penasihat-penasihat di Kementerian Kewangan dan tempat-tempat strategik di Malaysia,” demikian ucapannya dalam ceramah tersebut.

Wakil rakyat Pas itu mendakwa Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan telah meminjam wang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ucapannya berbunyi begini;

“Semenjak dia menjadi Menteri Kewangan, dia kata pinjamlah IMF. Pinjamlah IMF. Betul ke tidak betul tuan-tuan? Tun Mahathir kata jangan, nanti kena cucuk hidung. Sekarang ini IMF menjadi sebahagian daripada konsultan penasihat kepada kementerian kewangan,”.

Bagaimanapun seorang individu tampil menyertakan klip video lama ketika Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Pada waktu itu, Anwar sendiri memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau pada 1993 telah menghantar surat kepada IMF untuk berhenti memberi pinjaman kepada Malaysia.

Namun pada 1999 ketika Anwar di penjara, Menteri Kewangan pada waktu itu dikatakan menulis semula kepada Bank Dunia untuk membuat pinjaman kewangan.

Sementara itu Ustaz Pas mendakwa Perdana Menteri telah mengikut tunjuk ajar Yahudi dalam isu penyasaran subsidi diesel.

Berikutan itu ramai yang meluahkan kekesalan kerana seorang individu yang dilihat alim tergamak melemparkan fitnah tanpa bukti.

Mereka juga mencabar Mohd Zamri agar mengemukakan fakta di setiap kata-katanya itu.

BACA JUGA BlackRock dah ada di Malaysia sejak 1990-an – Tengku Zafrul