Jumlah pelaburan BlackRock di Malaysia bakal diperinci di Parlimen hari ini

Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal memberi tumpuan pada perincian jumlah pelaburan BlackRock dan syarikat berkaitannya di Malaysia.

Isu tersebut akan dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Lim meminta perincian mengenai di negeri mana BlackRock mempunyai pelaburan serta implikasi kepada ekonomi negara jika pelaburan syarikat itu sejak berpuluh tahun digugurkan.

Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mahu Menteri Komunikasi menyatakan tindakan yang diambil untuk menangani isu penyebaran video dan gambar lucah di platform media sosial, yang juga bertujuan mempromosikan produk berkaitan seks.

Sementara itu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan perancangan untuk menyeragamkan harga barangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak serta mekanisme menangani masalah penyeludupan barangan keperluan bersubsidi.

Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai depan.

BACA JUGA PN ‘bungkus’ awal, ceramah elok dalam Google Meet saja

Â