Malaysia bakal terima kembali aset lebih AS$100 juta dari Jho Low
Jho Low, 43, akan menyerahkan harta bernilai lebih AS$100 juta (RM471 juta), termasuk sebuah apartment mewah di Paris dan karya seni serta Claude Monet dan Andy Warhol.
Tindakan ahli perniagaan dalam buruan itu dibuat bagi menyelesaikan kes pelucuthakan sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pelucuthakan itu diumum oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor Reuters.
Hakim Daerah AS, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta keluarganya pada 24 Jun lalu.
Aset yang dilucuthakkan itu adalah tambahan kepada hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk ‘superyacht’ bernilai AS$120 juta (RM503 juta) yang Jho Low dan keluarganya dilucuthakkan sebelum ini.
Lelaki berasal dari Pulau Pinang itu masih menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan konspirasi rasuah di Brooklyn, New York, berhubung 1MDB.
Lebih A$4.5 bilion (RM18.86 bilion) dirompak daripada 1MDB antara 2009 dan 2015, dedah pihak berkuasa AS dan Malaysia.
Sejumlah wang itu dihantar ke akaun bank luar pesisir dan syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.
Jho Low sebelum ini membantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB bagi menggalakkan pembangunan ekonomi.
Goldman Sachs, yang membantu 1MDB menjual bon mencapai penyelesaian AS$2.9 bilion (RM12.16 bilion) pada 2020 bagi kes jenayah AS berhubung 1MDB.
Sementara itu, Jabatan Kehakiman menyatakan bahawa Jho Low membayar kira-kira AS$35 juta (RM146.57 juta) untuk lukisan Monet ‘Vetheuil au Soleil’, lukisan Warhol ‘Colored Campbell’s Soup Can (Emerald Green) 1965’ dan apartment di Paris.
Peneraju utama Jynwel Capital itu dan keluarganya juga akan menyerahkan harta bernilai AS$67 juta (RM280.47 juta), termasuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Singapura dan Switzerland.
Jabatan Kehakiman juga dilapor berkata, ia membantu mengembalikan lebih AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB ke Malaysia, dalam kes penyerahan harta sivil terbesar dalam sejarah jabatan tersebut.
BACA JUGA Iszuree Ibrahim rupanya calon asal PN di Sungai Bakap
Â