PRK Sungai Bakap: AMANAH tumpu di kawasan Sungai Duri

Parti Amanah Negara (AMANAH) bertumpu di kawasan Sungai Duri sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula 22 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setiap jentera parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) telah diberi tugas dan lokasi khusus kempen.

Keputusan pembahagian itu, jelasnya, adalah seperti yang telah diarahkan oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau menafikan parti komponen Kerajaan Perpaduan tersebut tidak turun padang bersama jentera Perpaduan

“Kita ikut arahan parti masing-masing. Dalam kempen ini, kami bertumpu di kawasan Sungai Duri.

“Di sana ramai pengundi yang majoritinya adalah Melayu,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian kepada pemberita pada program Jom Masak Menu Sihat Citarasa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Tasek Cempedak semalam.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan program kempen partinya berjalan lancar dengan tumpuan mengadakan lawatan rumah ke rumah, ceramah kelompok serta khidmat masyarakat.

Calon Perpaduan, Joohari, 60, akan berentap dengan Abidin Ismail, 56, mewakili Perikatan Nasional (PN) yang dicanang memiliki sijil ISO 14001 bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar.

Seramai 39,279 pemilih DUN Sungai Bakap layak membuang undi membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis pada 6 Julai depan.

BACA JUGA Heboh Pas gaduh di Sungai Bakap pasal ‘calon ISO’, pusat khidmat pun rupanya dah tutup

Â