Sehari selepas titah murka Sultan, MFL buat ‘U-turn’ ubah denda Selangor FC
Sehari selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan titah murka, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pengurangan denda dikenakan terhadap Selangor FC kepada RM60,000.
Seiring dengan keputusan itu, MFL juga membatalkan pemotongan tiga mata bagi aksi Liga Super musim ini.
Badan itu turut membenarkan penonton hadir menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
“Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT dibatalkan. Penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut.
“Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tig hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
MFL berkata Ahli Lembaga Pengarahnya “menggunakan budi bicara” mempertimbang denda kepada Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Sharafuddin.
Bagaimanapun kata MFL, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.
Bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL susulan ketidak hadiran Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih dikekalkan tetapi jumlahnya belum ditetapkan.
“MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya,” ujarnya.
Selangor FC didenda RM100,000 kerana tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Johor pada 10 Mei lalu
BACA JUGA “Tak bolehlah harap saya buat kerja ‘supervisor’”- Akmal basuh Exco Kedah lambat buat kerja