Netizen menang, MOM akur ubah rekaan baju selepas teruk dikecam

Susulan kontroversi hebat membabitkan rekaan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan untuk menambahbaik pakaian kontijen negara menjelang saingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melalui satu kenyataan media hari ini memberi jaminan ia akan dilengkapi kit pakaian rasmi ‘paling mencerminkan kedudukan negara dan harapan seluruh rakyat Malaysia.’

Kata beliau, pihaknya akan memperbaharui reka bentuk baju rasmi dengan menonjolkan motif Harimau yang lebih jelas serta mengembalikan warna asal logo MOM dan Jalur Gemilang.

“Kit pakaian ketika ini menggunakan versi emas Jalur Gemilang, yang mana pasukan pereka memikirkan ia mungkin gambaran terbaik buat aspirasi kontinjen untuk membawa pulang pingat emas sulung Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu sudah mengarahkan MOM untuk bekerjasama dengan Yonex – penaja kontinjen negara – untuk membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas diterima daripada pemegang taruh dan juga orang awam.

“Kami komited untuk memastikan setiap ahli dalam kontinjen ini berpakaian dengan cara yang membawa kebanggaan kepada negara dan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, MOM menegaskan pendiriannya untuk tidak mengubah rekaan baju atlet negara walaupun dihujani kecaman hebat.

Di media sosial pula, netizen menyerlahkan kreativiti masing-masing dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mereka baju atlet negara yang bersifat global dan lebih ‘garang’ berbanding rekaan asal.

BACA JUGA Sewa naik ‘kaw-kaw’, peniaga Pasar Payang terpaksa gadai emas bayar deposit

Â