Pembangunan bukan tanggungjawab wakil rakyat, tapi Kerajaan Pusat – Pas
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, apabila pembangkang menjadi wakil rakyat, tidak bermakna pembangunan di kawasan itu akan tersekat.
Ini kerana baginya projek memajukan sesuatu kawasan adalah tugas kerajaan Pusat bukan wakil rakyat.
Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh menyekat peruntukan peribadi wakil rakyat tetapi projek pembangunan dalam setiap kawasan menjadi tanggungjawab Pusat.
“Peruntukan peribadi untuk wakil rakyat (pembangkang) mungkin boleh tahan tapi projek-projek pembangunan dalam kawasan, itu tanggungjawab kerajaan (Pusat) dan bukan wakil rakyat.
“Tak bermakna pembangkang jadi wakil rakyat, pembangunan akan tersekat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau memberi contoh kawasan dimenangi DAP sewaktu parti itu menjadi pembangkang.
Menurutnya kawasan ditadbir DAP semuanya maju dan membangun.
“Contohnya dulu DAP menang di Cheras, Seputeh, Bukit Bintang malah semua kawasan itu maju dan membangun walau dikuasai DAP sejak dulu yang sebelum ini adalah pembangkang.
“Dalam konteks Kelantan, kita tengok Pengkalan Chepa adalah kawasan Pas sejak dulu lagi tapi ia antara yang paling maju dengan adanya universiti, lapangan terbang, padang golf dan maktab perguruan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang menyatakan satu kerugian jika pengundi memilih calon pembangkang pada PRK nanti terutama dari segi peruntukan.
Mohd Amar berkata, alasan itu tidak munasabah kerana segala projek pembangunan sememangnya di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat dan wakil rakyat hanyalah menyampaikan suara rakyat.
“Jadi alasan itu tidak munasabah sebab wakil rakyat hanya sampaikan suara rakyat dan memastikan kebajikan dijaga, bukan dia (wakil rakyat) yang buat projek,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Sewa naik ‘kaw-kaw’, peniaga Pasar Payang terpaksa gadai emas bayar deposit
Â