Sedar kerusi DUN Kota Lama ‘panas’, ini jawapan balas tuan punya kerusi
ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim sedar kerusi yang disandangnya kini menjadi ‘rebutan’ dan hangat diperkatakan selepas MCA Kelantan mahu ia dipulangkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
Menyedari hal itu, Dr Hafidzah tidak melatah, sebaliknya berkata MCA selaku rakan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan berhak membuat permintaan itu.
Namun katanya, beiau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi menentukan pemilik kerusi tersebut nanti.
“MCA berhak membuat permintaan itu tetapi yang sebaiknya soal kerusi perlu ada perbincangan dan saya serahkan semua keputusan kepada pucuk pimpinan,” katanya memetik Sinar Harian.
Ketua Angkatan Wanita Negeri (AWAN) Kelantan itu turut maklum perkara itu disebutkan dalam Konvensyen Barisan Nasional baru-baru ini.
Hafidzah memenangi DUN Kota Lama atas tiket AMANAH dengan majoriti 202 undi ketika Pilihan Raya Negeri.
Minggu lalu AMANAH menegaskan tidak akan memberi laluan kepada parti lain termasuk MCA dari Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Kota Lama.
Kata Pengarah Komunikasinya Khalid Samad, mereka berpegang kepada amalan sedia ada iaitu parti penyandang kekal bertanding di kawasan terbabit.
Khalid turut berpendapat MCA dan DAP tidak sepatutnya bertanding di Kelantan kerana keadaan politik rakyat negeri itu berbeza dengan tumpuan lebih kepada isu Melayu dan Islam.
BACA JUGA “Tak bolehlah harap saya buat kerja ‘supervisor’”- Akmal basuh Exco Kedah lambat buat kerja