Sewa naik ‘kaw-kaw’, peniaga Pasar Payang terpaksa gadai emas bayar deposit
Lebih 400 peniaga Pasar Payang yang berharap permohonan pengurangan kadar sewa dipertimbangkan kerajaan negeri, terpaksa akur dan hampa apabila rayuan mereka masih belum berbalas.
Dilaporkan, beberapa peniaga di Pasar Kedai Payang 2 terpaksa menggadai dan menjual barang kemas untuk membayar wang pendahuluan memasuki ruang niaga di Pasar Kedai Payang 1 yang kadar sewanya dinaikkan sehingga 400 peratus.
Lapor Harian Metro, peniaga perlu membayar wang pendahuluan sewaan tiga bulan berjumlah RM2,400, bayaran papan iklan (RM1,600), amanah kunci (RM100), amanah letrik (RM100), perjanjian sewa (RM100) dan RM30 untuk bayaran surat akuan sewa serta bayaran bulanan RM800.
Jika dikira-kira, peniaga perlu membayar sekitar RM8,330.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu (PPPKKT), Zakaria Yusof berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima maklum balas surat rayuan tersebut.
Beliau turut mengesahkan ada antara peniaga terpaksa menggadai dan menjual barang kemas untuk membayar wang pendahuluan seperti ditetapkan MBKT.
“Kita mewakili lebih 400 peniaga mengharapkan permohonan pengurangan kadar sewa dapat diberi pertimbangan oleh kerajaan negeri.
“Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, kita berpendapat belum masa sesuai untuk kerajaan negeri termasuk MBKT menaikkan kadar sewaan ruang niaga premis di Pasar Kedai Payang 1,” katanya seperti dilapor.
BACA JUGA Peniaga Pasar Payang terkejut sewa naik mendadak, dulu RM110 sekarang cecah RM400
Â