PRK Sungai Bakap: Umno usaha yakinkan ahli, Bersatu pula mahu bersihkan diri

ANALISIS

Ketika Umno menggunakan sepenuhnya pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap untuk memberikan penjelasan kenapa mereka menyertai Kerajaan Perpaduan, Bersatu pula menjadikan PRK ini untuk mengatakan mereka tidak gagal ketika memerintah negara sebelum ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki ketika memberikan ceramahnya malam tadi di Tasek Junjong memberikan penjelasan panjang lebar kenapa Umno menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Menyertai Kerajaan Perpaduan bukan satu hal yang mudah bagi Umno. Kita kena bekerjasama dengan musuh tegar kita sebelum ini iaitu DAP. Namun setelah diberikan titah oleh Tuanku Agong dan demi kepentingan negara, kita menyertai Kerajaan Perpaduan selepas tiada parti mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan,” kata Ashraf dalam ceramahnya.

Kejayaan calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap, Dr Joohari banyak bergantung kepada Umno. Jika Umno berjaya meyakinkan 5,000 ahlinya di Sungai Bakap untuk turun menyokong PH, calon dari Kerajaan Perpaduan itu akan menang dengan selesa dan merampas kerusi dari Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) itu.

Sebab itu, pemimpin Umno nampaknya mengambil pendekatan yang jelas. Jika mereka berjaya meyakinkan ahli Umno bahawa tindakan yang diambil oleh peimpin mereka Tan Sri Ahmad Zahid Hamidi itu betul ketika menyertai Kerajaan Perpaduan, maka ahli Umno akan menyokong mereka.

Kemenangan calon PH dalam PRK ini juga akan memberikan manafaat besar kepada Zahid dalam menentukan apakah kepimpinan beliau masih relevan untuk Umno ketika sesetengah pihak dalam parti itu mempertikaikan beliau.

Golongan yang mendakwa diri mereka sebagai Umno asal ini berusaha meyakinkan ahli Umno bahawa halatuju parti mereka sekarang tidak betul dan untuk memperbetulkannya, Zahid perlu ditukar.

Golongan ini pula menamakan Umno pimpinan Zahid sekarang sebagai UmDap untuk merendahkan parti gergasi itu di kalangan ahli mereka. Ia bertujuan untuk mengatakan, Umno sekarang adalah Umno DAP.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ketika Umno berjuang untuk mengembalikan semula ahlinya kepada parti itu, yang sudah mula menampakkan kejayaannya selepas calon Kerajaan Perpaduan menang di Kuala Kubu Baru, Bersatu pula cuba untuk berkata, mereka tidak gagal ketika Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menjadi perdana Menteri dahulu.

Ia perlu dibuat untuk menolak lebel #KerajaanGagal yang ditampalkan kepada imej kerajaan Mahiaddin dahulu.

Usaha ini terpaksa dibuat dengan lebih baik lagi selepas kerajaan Mahiaddin dahulu terpalit dengan pelbagai skandal Janawibawa yang benar-benar telah merosakkan nama baik parti itu apabila dana kerajaan digunakan untuk parti dan dana untuk bumiputra diberikan kepada pihak lain.

Bahkan sehingga sekarang Mahiaddin gagal membawa balik menantunya yang lari keluar negara selepas didakwa terlibat dalam pelbagai kesalahan rasuah ketika bapa mertuanya menjadi perdana menteri.

Apa yang berlaku kepada Bersatu sudah tentu menyebabkan ramai pemimpin dan akar umbi Pas marah kerana ia telah merosakkan nama baik Pas yang selama ini sangat berbangga kononnya mereka parti yang bersih.

Namun beban Bersatu sedikit sebanyak berjaya ditepis selepas anak MB Perlis yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa atas kesalahan salah laku. Saya difahamkan, MB Perlis juga mempunyai kes untuk dijawab di mahkamah ekoran kes ini.

(Penyokong PN, kebanyakannya petugas, berkumpul di perkarangan Masjid Kepala Gajah untuk mendengar ucapan Mahiaddin Jumaat semalam).

Ketika berucap di Kampung Kepala Gajah Jumaat semalam, Mahiaddin berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan penyokong bahawa beliau dan pemimpin PN telah melakukan perkara yang betul semasa memerintah negara sebelum ini.

“Saya telah ditakdirkan untuk menjadi PM ketika Covid melanda negara. Masa jadi PM selama 17 bulan, kita telah berjaya menyelesaikan isu Covid walaupun ribuan rakyat kita meninggal,” kata Mahiaddin dalam majlis itu.

Padahal semua orang tahu, kerajaan Mahiaddin telah terlibat dengan skandal besar Janawibawa yang melibatkan puluhan juta wang negara dan parti itu didakwa mengambil wang negara untuk partinya. Kerajaan beliau juga telah dilebel sebagai Kerajan Gagal oleh netizen.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, turut mengambil kesempatan untuk turun ke Sungai Bakap semalam selepas ‘kesipuan’ kerana gagal di Kuala Kubu Baru. Padahal nama beliau tidak ada pun di dalam poster program yang diedarkan.

Azmin menyerang bekas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa, “Kalau PM yang dilahirkan di Sungai Bakap gagal menyelesaikan masalah infrastruktor asas di sini, apa yang kita boleh harapkan dari beliau.”

Azmin mendakwa, penduduk Sungai Bakap berhadapan dengan masalah bekalan air bersih ketika kerajaan Pulau Pinang terpaksa mencari sumber air yang lain (Perak) selepas kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas membuat onar dengan isu bekalan air.

Sebagaimana di Kuala Kubu Baru, peranan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP amat besar dalam PRK ini. Jika kerajaan negeri menjalankan tugas sebagaimana kerajaan negeri Selangor berperanan di KKB, Cikgu Joohari akan diumumkan sebagai wakil rakyat yang baru 6 Julai nanti. Dan sudah tentu, jika itu berlaku, pasukan Zahid Hamidi akan seteguh batu hitam (blackrock) di dalam Umno dan Barisan Nasional manakala pencabar beliau hanya mampu menggigit jari.

BACA JUGA Sewa naik ‘kaw-kaw’, peniaga Pasar Payang terpaksa gadai emas bayar deposit