‘Janganlah umum calon sama dengan batang paip’
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan rasa simpatinya terhadap calon Perikatan Nasional (PN) Sungai Bakap, Abidin Ismail kerana ‘terlibat’ dengan isu sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO 14001).
Rafizi berkata, beliau tidak menyalahkan Abidin atau lebih dikenali sebagai Abang Bidin kerana bukan calon itu yang mengaku ada ISO.
”Saya kesian kat Abang Bidin ni, bila tengok dari jauh dia nak pelepas cerita ISO ini sampai ke sekarang dia tak boleh lepas.
”Dia (Abang Bidin) nak beritahu bukan dia yang tak cerdik, Timbalan Presiden (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang tak cerdik pergi umumkan, dia tak tahu apa itu ISO.
”Abang Bidin tahu kalau ISO ini untuk mesin syarikat sebenarnya.
”Kalau ye pun betul-betul nak tunjukkan dia nak baiki masalah air kat Sungai Bakap, janganlah umum seorang calon yang sama dengan batang paip sebab batang paip je ada ISO, manusia tak ada ISO,” kata Rafizi dalam ceramahnya di Padang Lalang, Sungai Bakap.
Dalam ceramahnya itu, beliau yang juga Menteri Ekonomi turut memberitahu tentang adik bongsunya yang mempunyai jawatan kanan di British Standard Institute (BSI).
”Saya baru terfikir, rupanya adik bongsu saya dia ada jawatan kanan di BSI.
”ISO ini yang mengeluar dan membangunkan, ISO ini ada satu institut dalam dunia, namanya BSI.
”Saya beritahu adik saya, eh, kalau ada ISO boleh jadi calon yang boleh dimenangkan untuk pergi ke peringkat DUN, maknanya adik saya yang duduk di BSI pun boleh jadi menteri besar macam Sanusi lah sebab level dia lagi tinggi,” seloroh beliau.
Pada 8 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan, dilapor, berkata Pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang menjamin kecukupan bekalan air di Pulau Pinang berikutan peningkatan permintaan yang dijangka mencecah 1,532 juta liter sehari (JLH) menjelang 2030 dan 1,844 JLH pada 2040.
Katanya, pelaksanaan projek itu juga membolehkan air disalurkan terus kepada pengguna air di Seberang Perai Selatan (SPS) kerana air dari Perak akan dipam ke kawasan selatan tanah besar yang akan menambah baik dan menstabilkan bekalan air untuk kira-kira 79,956 pengguna di SPS.
Pada 15 Jun lalu pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan projek penyaluran air mentah daripada Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian dengan sebahagian daripadanya adalah bagi penyaluran air terawat ke Pulau Pinang membabitkan kos sekitar RM4 bilion.
Anwar berkata, ia juga bagi menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), sebagai langkah jangka masa panjang bagi membekalkan air terawat di wilayah utara Perak serta di selatan Pulau Pinang khususnya Seberang Perai.
BACA JUGA ‘Tak perlu tunggu PRK bro, beras tetap sampai!’
Â