Muhyiddin kaitkan subsidi diesel bersasar dengan pinjaman IMF, ini jawab Rafizi

Pertanyaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kempen ceramah mega PN di Sungai Bakap kelmarin yang bertanyakan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mempunyai kaitan dengan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menarik perhatian Rafizi Ramli.

Menteri Ekonomi itu menempelak pihak pembangkang berhubung isu tersebut memandangkan tidak timbul soal pinjaman IMF kerana Malaysia bukannya di ambang muflis.

Tegasnya, hanya negara yang berada di ambang bankrap dan tidak mampu lagi membayar hutang sahaja yang akan mendapatkan bantuan kewangan IMF.

“Kamu tak boleh pergi kepada IMF kalau kamu boleh bayar hutang.

“Ada Malaysia nak bankrap sekarang, ada kita tak boleh bayar hutang? Tak timbul soal IMF, kalau pun ada orang gila nak pinjam IMF, IMF akan kata kamu gila.

“Kamu tak boleh pinjam daripada kami (IMF) kerana kamu masih lagi ada duit. Negara yang pergi kepada IMF hanyalah negara yang sudah nak bankrap, baru boleh pergi kepada IMF,” katanya.

Rafizi berkata demikian pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat malam tadi.

Berbaki lagi lima hari tempoh berkempen PRK Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Kerajaan Perpaduan diwakili bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon.

Beliau akan berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.

Seramai 39,279 pemilih layak mengundi dalam PRK DUN Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

BACA JUGA Tak hargai subsidi petrol, ada yang lama hidupkan enjin, enggan guna MRT