Cikgu Joo fokus dekati pengundi di kawasan kelabu
Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Cikgu Joo kini memberi tumpuan kepada pengundi di kawasan kelabu.
Pemilik nama sebenar Dr Joohari Ariffin itu berkata, tumpuan gerak kerja ‘memutihkan’ sokongan di kawasan kelabu atau atas pagar itu kini melebihi 60 peratus.
Mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menjelaskan usaha tersebut penting bagi kelancaran strategi, sekali gus menjamin kemenangan selesa buat Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulillah, kita kini tumpukan ke kawasan kelabu seperti di kawasan ini (Kampung Sungai Buaya).
“Setakat hari ini, kempen kita sudah melebihi 60 peratus dan kita akan masuk semua (kawasan).
“(Pengundi) Terima atau tidak, tidak mengapa (kerana) saya datang hendak perkenal diri dan menghulurkan salam perkenalan,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di Kampung Sungai Buaya,hari ini.
Cikgu Joo menambah kempen dari rumah ke rumah merupakan cara terbaik bagi mendekati pengundi.
Selain itu, pendekatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk meyakinkan pengundi supaya memilihnya sebagai wakil rakyat pada 6 Julai nanti.
BACA JUGA Ikon pasar terkenal di Kota Bharu jadi lebih cantik hasil dana Kerajaan Persekutuan
Â