Ikon pasar terkenal di Kota Bharu jadi lebih cantik hasil dana Kerajaan Persekutuan

Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan berubah wajah menjadi lebih cantik hasil daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Pada awal tahun ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyumbang dana untuk baik pulih ruang legar pasar awam yang menjadi ikon ibu negeri dikuasai Pas itu,

Awal minggu ini pula, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajui Nga Kor Ming menyalurkan dana berjumlah RM1 juta dalam usaha membaik pulih pasar yang uzur itu.

Ramai pelanggan dan pelancong domestik datang ke Pasar Besar Siti Khadijah yang menjadi mercu tanda Kota Bharu untuk membeli pelbagai jenis makanan dan barangan.

Musim perayaan atau cuti persekolahan pula menyaksikan ramai pelancong dari luar Kelantan mengunjungi pasar yang mula dibuka pada 1985 itu.

Sasterawan Faisal Tehrani dalam tulisannya pada Oktober tahun lalu antara lain menegaskan “hanya kuasa madani dapat memberikan kepulihan buat Pasar Besar Siti Khadijah.”

Felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpendapat Pasar Besar Siti Khadijah di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ternyata amat tidak bersih.

“Longgokan sampah sarap di pintu, longkang di pasar jualan basah harian tidak diuruskan dengan cekap, selain kawasan awam yang sepatutnya menjadi bebas ditampal dengan poster dan bendera Pas…,” katanya.

Sehubungan itu, pengarang itu menyifatkan kerajaan Madani perlu ‘campur tangan’ dalam menyelamatkan pasar unik yang bersisi lapan atau oktagon itu daripada ‘terancam’.

“Nampaknya, suka tidak suka Anwar Ibrahim dan pasukannya jugalah yang terpaksa campur tangan melakukan sesuatu yang bermakna untuk Kota Bharu, dan lebih khusus Pasar Besar Siti Khadijah.

“Jika PMX yang tidak memperuntukkan pengubahsuaian Seri Perdana dan lebih memberi perhatian kepada tandas sekolah boleh melihat Pasar Besar Siti Khadijah alangkah baiknya.

“Hanya kuasa madani dapat memberikan kepulihan buat Pasar Besar Siti Khadijah,” tulis Faisal lagi.

BACA JUGA 5 kenyataan lawak seminggu kempen PN PRK Sungai Bakap

Â