Isu loji sisa pepejal kepada tenaga di 18 lokasi bakal dibangkit di Dewan Rakyat hari ini

Isu pembangunan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di seluruh negara sebagai kaedah baharu pengurusan sisa pepejal bakal antara perkara menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, soalan berkenaan akan diajukan pada sesi Soal Jawab Lisan.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bertanyakan soalan pada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan senarai 18 lokasi yang akan membina loji ‘waste to energy’atau sisa kepada tenaga di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang.

Untuk rekod, KPKT pada Mei lalu dilapor telah mengenal pasti sebanyak 18 lokasi bagi pembangunan loji WTE di seluruh negara sebagai kaedah baharu pengurusan sisa pepejal yang akan menggunakan teknologi canggih dan terkini seperti dilaksanakan di beberapa negara Eropah selain China dan Jepun.

Selain itu, Chow Yu Hui (PH-Raub) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha kerajaan untuk mempercepat proses pengeksportan durian segar ke China dan memberi satu jangka masa bila pengeksportan itu boleh bermula.

Yu Hui juga bertanyakan mengenai kekangan atau masalah yang dihadapi oleh kementerian dalam proses itu serta cara penyelesaian untuk mengatasinya.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi 2021 dan 2022.

Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini adalah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 serta menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai depan.

BACA JUGA 5 kenyataan lawak seminggu kempen PN PRK Sungai Bakap