Melonjak lebih baik, ini 4 fokus utama ProAMANAH
Pengarah Strategi AMANAH, Ahmad Sabki Yusof tampil menjelaskan mengenai Projek Transformasi AMANAH (ProAMANAH) yang telah dilancarkan kelmarin.
Majlis pelancaran projek berkenaan telah disempurnakan oleh presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu di Shah Alam.
Ahmad Sabki berkata, ProAMANAH merupakan satu perancangan jangka sederhana parti bertujuan melonjakkan parti ke satu tahap yang lebih baik.
”Terdapat empat fokus utama projek, pertamanya pemupukan nilai bersama dalam kalangan ahli AMANAH bagi membentuk kesatuan dan kebersamaan yang lebih teguh.
”Kedua, mengukuhkan organisasi AMANAH secara pengembangan cawangan dan keberkesanan pengurusan kawasan, meningkatkan kompetensi penggerak parti, merancang kepimpinan pelapis, mengatur kesiapsiagaan pilihanraya, meningkatkan pengurusan kewangan yang lebih baik dan adaptasi teknologi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut beliau fokus ketiga pula adalah, mengukuhkan jenama politik AMANAH sebagai gerakan politik yang membawa agenda Rahmat Untuk Semua, dengan nilai Islam yang moderat, progresif dan centris.
”Seterusnya memperluaskan sokongan dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap AMANAH.
”Yang keempat adalah menggerakkan usaha mendekatkan AMANAH dengan masyarakat dan rakyat Malaysia di seluruh negara melalui aktiviti kemasyarakatan dan khidmat kebajikan.
”Program-program ini akan digerakkan oleh seluruh organisasi AMANAH sebagai usaha bersama untuk membina AMANAH sebagai parti pilihan utama rakyat Malaysia di masa hadapan. Insha Allah,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Ikon pasar terkenal di Kota Bharu jadi lebih cantik hasil dana Kerajaan Persekutuan