Selepas Ustaz Don tiada, ini terjadi dengan rating Salam Baitullah
Selepas terpalit beberapa kontroversi membabitkan penceramah Ustaz Don Daniyal, rating program Salam Baitullah musim ke-16 meningkat satu kali ganda iaitu kira-kira 1 juta hingga 1.5 juta penonton.
Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata, peningkatan di sosial media lebih ketara iaitu 3.4 juta tontonan.
“Sebenarnya rating televisyen sama macam tahun lepas cuma kali ini meningkat satu kali ganda iaitu antara 1 juta hingga 1.5 juta.
“Peningkatan paling ketara adalah dalam platform media sosial iaitu 3.4 juta tontonan,” katanya menurut laporan Kosmo! Online.
“Tahun ini antara penganjuran Salam Baitullah yang terbaik dan mencatat rating tinggi malah pertama kali dianjurkan di luar studio iaitu Masjid Putra, Putrajaya dan itu juga penyumbang kepada rating,” katanya lagi.
Ditanya sama ada rating mencanak disebabkan kontroversi mengaitkan Ustaz Don yang direhatkan daripada program terbabit, Shahri tidak menafikan perkara itu.
Bahkan katanya, jualan produk penaja juga naik mendadak antara 50 peratus hingga 70 peratus.
Begitu pun katanya, ia bukan disebabkan kontroversi Ustaz Don semata-mata, namun membabitkan usaha pihak produksi memastikan pengisian program dibuat menarik yang mungkin.
“Betul, perkara tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi rating tapi apa yang mahu saya tampilkan di sini, kemelut yang berlaku dalam program ini memberi kutipan dan catatan tinggi daripada segi jualan membabitkan produk oleh penaja.
“Daripada maklum balas penaja, jualan mereka naik mendadak antara 50 hingga 70 peratus sepanjang tempoh program ini disiarkan. Namun, bukan sebab isu itu sepenuhnya sebaliknya disebabkan pengisian dibuat,” ujarnya.
Paling penting kata Shahri, pulangan penganjuran program terbabit kali ini melebihi apa yang dibelanjakan.
Enggan isu lama berulang pada tahun hadapan, Shahri berkata pihaknya akan lebih teliti dalam pemilihan hos serta pengisian program.
BACA JUGA Terkejut dengar ceramah kempen Wan Fayhsal