Catat kejayaan demi kejayaan, MB kata kerajaan Selangor di landasan tepat

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan berada di landasan tepat untuk mengemudi negeri ke puncak kegemilangan.

Beliau berkata, peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nilai aktiviti ekonomi mencecah RM400 bilion dan saiz ekonomi yang meningkat adalah bukti kerajaan negeri berada on the right track.

“Alhamdulillah, Selangor terus mencatat kejayaan demi kejayaan.

“Berbekalkan usaha gigih semua pihak dan ikhtiar kerajaan negeri yang sentiasa memberi yang terbaik, kita menerima khabar gembira apabila Selangor terus menerajui pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kejayaan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri merakamkan penghargaan kepada barisan penjawat awam, pihak swasta, komuniti perniagaan serta rakyat Selangor atas kejayaan tersebut.

“Insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat agar Selangor terus maju lebih hebat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Selangor merekodkan kejayaan baharu apabila mencipta sejarah menyumbang sebanyak 25.9 peratus kepada Keluaran KDNK Malaysia bagi 2023.

Amirudin berkata, rekod menunjukkan sumbangan itu meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding KDNK negara pada 2022 iaitu 25.5 peratus.

Menurut Amirudin, dalam masa yang sama, Selangor berjaya mencipta sejarah dengan nilai aktiviti ekonomi yang berjumlah RM406.1 billion, pada 2023 sekaligus menjadi negeri pertama Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.

BACA JUGA IDE ramal PH bakal menang di DUN Sungai Bakap