Kes seleweng diesel berkurang, rampasan turun 87 peratus, kata menteri

Langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas menyaksikan penurunan kes penyelewengan bahan api itu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata, bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun 2024 iaitu sebelum penyasaran subsidi dikuatkuasa, jumlah kes yang telah direkodkan adalah sebanyak 6 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

Manakala bagi tempoh 20 hari selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan iaitu bermula 10 Jun hingga 30 Jun lepas, statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas penyasaran subsidi.

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama daripada 40 orang kepada seorang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata menteri, terdapat peningkatan bagi kes melibatkan rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei sehingga 9 Jun, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas penyasaran subsidi diesel.

Jumlah tangkapan meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh sama.

BACA JUGA Jawapan terbaik Menteri Kewangan II kepada Radzi Jidin, inilah profesional