Noh Omar sah sertai parti yang dulunya dibina Mahathir

Tan Sri Noh Omar akhirnya hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dulunya dibina Tun Dr Mahathir.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, dia memohon untuk menyertai Bersatu secara dalam talian semalam dengan mengisi borang dan terus diterima.

“Tiada siapa yang tahu. Kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli Bersatu,” jelasnya menerusi rakaman video yang dikongsikan, hari ini.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan, hari ini, Noh berkata, keputusan drastik tersebut dibuat selepas kecewa dan sedih dengan nasib menimpa Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas presiden UMNO itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran Titah Adendum dikatakan, dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

Mengulas lanjut Noh yang juga pernah selama 27 tahun menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, keputusan untuk menyertai Bersatu agak berat.

Menurutnya, dia mengambil masa lebih setengah tahun baru berbuat demikian kerana mengingati pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.

“Saya masih ingat pesanan beliau kepada saya. ‘Noh, you kena sabar, jangan masuk mana-mana parti.

“Bertenang dan bersabar…Insya-Allah perjuangan kita akan berjaya’. Saya menghormati dan mematuhi pandangan serta arahan daripada beliau.

“Sebab itu saya tidak memasuki mana-mana parti politik sebelum ini,” kata Noh lagi yang dipecat UMNO tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

BACA JUGA Ikut lagi jargon banyak-banyak, ‘kan dah kena – Rafizi