Cikgu Joohari titip warkah akhir kempen buat pengundi
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin menitipkan pesanan terakhir buat pengundi menjelang tempoh akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tengah malam ini.
Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara menitipkan ‘Warkah Cikgu Joohari Buat Para Pengundi’ menerusi hantaran di laman sosial Facebook (FB).
Beliau yang mesra disapa sebagai Cikgu Joohari berkata, kemenangan PH dalam PRK itu adalah peluang kedua untuk penduduk Sungai Bakap membina semula perjalanan yang indah.
“Saya merayu supaya saudara dan saudari menggunakan peluang ini untuk memastikan segala harapan kita menjadi kenyataan.
“Sesungguhnya, saya amat memahami keadaan dan keperluan rakyat Sungai Bakap. Saya dengan rasa penuh iltizam akan bekerja keras demi penduduk Sungai Bakap sekiranya diberikan amanah.
“Dengan rasa rendah diri, saya memohon sokongan dan undi daripada 39,279 pengundi di Sungai Bakap, demi menjayakan visi dan misi membina Sungai Bakap yang makmur dengan perpaduan, ketahanan, dan harapan,” katanya lagi.
BACA JUGA Menjelang PRK Sungai Bakap esok: Pilih wakil rakyat bukan ikut emosi
Â