Pusat perniagaan Islam tawar produk patuh syariah bakal dibuka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah pusat perniagaan Islam dengan semua produk jualan adalah berasaskan konsep patuh syariah.

Menurutnya, pusat perniagaan itu dirancang dibuka di laluan antara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan replika kapal Cheng Ho, di Ayer Keroh.

Beliau berkata, pusat ekonomi tersebut dijangka dapat membantu usahawan Islam memasarkan produk mereka, sekali gus turut membangunkan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Melaka bersedia untuk bekerjasama dengan Yayasan Restu untuk membangunkan pusat perniagaan terbabit.

“Kita menunggu cadangan lengkap daripada Yayasan Restu untuk membangunkan pusat perniagaan itu, dan sudah pasti kerajaan negeri menyokong usaha berkenaan,” dipetik BH.

Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Al-Quran dan Produk Seni, Buku Sirah Nabi Muhammad SAW terbesar serta melancarkan Yayasan Restu Wilayah Selatan, di Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menyokong penganjuran Ekspo Al-Quran berkenaan yang dilihat dapat memperkasa dan memartabatkan syiar Islam serta melahirkan ummah sejahtera.

Jelasnya, sebanyak 10,000 naskhah buku terbitan Yayasan Restu dengan tawaran diskaun 20 peratus disediakan kepada pengunjung ekspo itu yang berlangsung selama 10 hari hingga 14 Julai ini.

“Tahniah kepada Yayasan Restu yang turut melancarkan aplikasi M-Quran berbentuk digital untuk mendedahkan masyarakat dengan amalan melazimi al-Quran menerusi kaedah terkini.

“Melalui cara itu, saya yakin umat Islam dapat menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu budaya sepanjang masa, sekali gus memuliakan kitab suci itu yang memang dituntut dalam agama bagi memastikan umat Islam menikmati keberkatan dan keredaan hidup,” katanya lagi.

BACA JUGA Mengejutkan penyokong PN pernah mengaku murtad sebut perkataan jelik terhadap PM