Wan Fayhsal dicemuh sebar fitnah

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjadi sasaran cemuhan warganet kerana dianggap menyebarkan fitnah tanpa semakan fakta.

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkongsikan dakwaan berkenaan ‘direct award party’ yang mengaitkan adik kepada Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

“Direct. Award. Party???” tulisnya menerusi platform X kelmarin.

‘Persoalan’ ditinggalkan Wan Fayhsal itu sebagai reaksi terhadap tangkap layar terjemahan kepada teks berbahasa Cina yang difahamkan tidak betul.

Namun, menurut pengguna X, @yapxiang, artikel tersebut mengenai wanita berkenaan yang kecewa kerana reka bentuk pakaian daripadanya untuk Paralimpik tidak dipilih.

Keratan artikel berbahasa Cina itu juga, jelasnya, tidak berkaitan dengan rekaan untuk pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Beliau berkata pasukannya di Universiti Limkokwing telah digugurkan oleh Majlis Paralimpik,” kata @yapxiang berkongsikan terjemahan yang sebenarnya.

Sehubungan itu, rata-rata pengguna media sosial menyelar sikap pemimpin PN yang dilihat sudah terdesak dan tiada ‘modal’ untuk menyerang kerajaan Madani.

Dalam masa sama, ramai menggesa Yeo Bee Yin mengenakan tindakan undang-undang ke atas Wan Fayhsal lantaran fitnah tersebut.

BACA JUGA Cikgu Joohari yakin sokongan pengundi di kawasan ‘hitam’