AMANAH ucap tahniah Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian
Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Republik Islam Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian atas kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden Iran baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau yakin di bawah kepimpinan Masoud, Iran akan terus komited membela nasib rakyat Palestin atas kezaliman yang dilakukan regim zionis Israel.
“Hubungan antara Iran dan Malaysia sudah terjalin sejak empat dekat yang lalu.
“Hubungan dua hala ini telah terjalin dari aspek ekonomi, pertanian, sains, teknologi dan pendidikan.
“Parti AMANAH yakin kemenangan Masoud ini mampu mengukuhkan hubungan baik antara Malaysia dan Iran,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Siapa Masoud Pezeshkian?
Menurut laporan, Masoud Pezeshkian, sebelum dipilih sebagai Presiden Republik Islam Iran, adalah seorang ahli Parlimen Iran yang kurang dikenali dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.
Masoud menewaskan lawan ultrakonservatif, Saeed Jalili, bekas perunding nuklear utama dan ketua badan keselamatan tertinggi, dengan julat 2.7 juta undi dalam keputusan yang diumumkan awal Sabtu.
Sebelum ini, dua cubaan beliau bertanding untuk jawatan presiden, masing-masing pada 2013 dan 2021, tidak berjaya.
Tinjauan sebelum pilihan raya menunjukkan sokongan ketara kepada Masoud, terutama selepas lima siri perbahasan presiden yang disiarkan di televisyen pada pusingan pertama, di mana beliau lantang mengenai isu dasar dalam dan luar negara.
Seorang tokoh politik berprofil rendah, Masoud berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan Mohammad Khatami (2001-2005) dan mewakili bandar barat laut Tabriz di Parlimen Iran sejak 2008.
BACA JUGA Tular penduduk kampung beratur minum air basuhan kaki jemaah haji