Jejambat Bandar Saujana Putra bagi manfaat 4,000 penduduk

Jejambat Bandar Saujana Putra (BSP) di Kuala Langat yang mula dibuka malam tadi akan memberi manfaat terutama kepada penduduk 4,000 rumah di kawasan BSP dan sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jejambat sepanjang 820 meter yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) itu dibina untuk mengatasi masalah kesesakan trafik.

”Masalah kesesakan trafik itu membelenggu pengguna kedua-dua lebuh raya ini dan penduduk sekitar.

”Pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra ini Insya-Allah akan meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas,” katanya di X.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kerajaan Selangor sentiasa memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Sebelum ini, beliau mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk pembinaan jejambat baharu itu bagi mengurangkan masalah kesesakan di kawasan tersebut.

Amirudin juga sebelum ini menyatakan bahawa projek berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 65,000 penduduk dan pengguna SKVE serta ELITE dari arah Bandar Saujana Putra.

BACA JUGA Tular penduduk kampung beratur minum air basuhan kaki jemaah haji