Kecewa, marah isu buli siber penyebab pempengaruh bunuh diri
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluahkan rasa kecewa dan marah susulan tindakan buli siber sehingga menyebabkan seorang pempengaruh TikTok nekad membunuh dirinya sendiri.
Kejadian tragis yang meragut nyawa mangsa berusia 29 tahun itu mencetus perhatian meluas di media sosial.
Pengguna mendakwa bahawa kematiannya adalah akibat gangguan tanpa henti yang dia alami selama beberapa minggu, dan tertekan akibat dibuli beberapa individu dengan komen-komen jelik di TikTok.
Fahmi dalam satu ciapan di X menegaskan mereka yang menjadi punca kejadian ini perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Luluh hati seorang ibu melihat jasad anaknya tak bernyawa. Saya amat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku.
“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri semalam.
“Saya turut bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik, meliputi aspek perundangan dan penguatkuasaan,” katanya selepas melawat keluarga mangsa.
Fahmi berkata, Kabinet akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi mengenai isu ini.
BACA JUGA Jokowi dulu dikecam buat subsidi bersasar, tapi menang lagi penggal kedua