PH didakwa kalah kerana penyasaran subsidi, ini respon terbaru Fahmi
Selepas banyak andaian mendakwa kerajaan tewas di Sungai Bakap disebabkan isu penyasaran subsidi diesel, Fahmi Fadzil tampil memberi respon berkenaan hal itu.
Menurut beliau yang juga jurucakap kerajaan, untuk mengatakan kekalahan Pakatan Harapan disebabkan semata-mata kerana isu tersebut, ia perlu melalui proses ‘post mortem’ terlebih dahulu.
Beliau juga sedar bahawa rasionalisasi bahan api itu dilaksanakan tidak sampai sebulan ketika hari mengundi berlaku.
“Kita semua sedar tarikh hari mengundi di Sungai Bakap (6 Julai 2024) kurang sebulan daripada pengumuman penyasaran subsidi diesel (9 Jun 2024).
“Jadi proses bagi mereka yang sudah memohon untuk mendapatkan Budi Madani masih berjalan, ada yang menunggu fleet card di bawah Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Untuk mengatakan ia (kekalahan PRK Sungai Bakap) berkait dengan satu dasar semata-mata atau beberapa dasar, ini yang melalui ‘post mortem’ kita akan teliti,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dekat Manjoi hari ini.
Pada masa sama Menteri Komunikasi akui perlunya perubahan dari segi kaedah penyampaian maklumat supaya setiap komuniti memahami dasar baharu yang dilaksanakan kerajaan.
“Walaupun kita berusaha menyampaikan maklumat melalui semua saluran media, termasuk media sosial, tetapi mungkin manifestasi penyampaian maklumat itu perlu kita ubah suai supaya komuniti di satu-satu lokasi memahami perkara itu.
“Kedua, hujah balas daripada pihak pembangkang itu kita perlu urus dengan cara yang lebih teliti, ini yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada saya,” katanya.
BACA JUGA “Anak saya dah berjalan semula”, kisah adik Rayyan dibantu Steven raih perhatian