Walau kalah di Sungai Bakap, AMANAH yakin PMX di jalan betul

AMANAH yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan yang betul walaupun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap tidak memihak kepada kerajaan memerintah.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga percaya Kerajaan Perpaduan tidak kalah kerana isu penyasaran subsidi diesel.

“Perpaduan tidak kalah sebab diesel. 

“Terus pertahankan isu struktural yang sangat kritikal untuk negara kekal berdaya maju.

“Jangan berundur pertahankan Islah negara, saya yakin dasar PMX di atas landasan yang betul,” ciapnya di X.

Banyak pihak mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap dengan keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang berkuatkuasa 10 Jun lalu.

Dalam tempoh tidak sampai satu bulan pelaksanaan, PRK Sungai Bakap diadakan.

Sebelum ini Perdana Menteri berkata, beliau enggan menangguhkan penyasaran subsidi bahan api itu kerana tidak mahu ia memberi persepsi yang salah kepada rakyat.

Sementara pemimpin tertinggi dalam DAP pula yakin mereka sebenarnya kalah dalam perang naratif dimainkan Perikatan Nasional.

BACA JUGA Reaksi sinis kaitkan penyasaran subsidi dengan keputusan Sungai Bakap tidak patut