Elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam dipertimbang

Elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam sedang dipertimbangan sebagai sebahagian usaha kerajaan menarik lebih ramai pelajar menyertai program itu.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, KPM turut mempertimbangkan elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

“Cadangan itu masih di peringkat permulaan, kerana Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030 baru saja kami putuskan pada Mei lalu dan kami akan teruskan untuk memastikan Tingkatan Enam menjadi pilihan utama anak kita,” katanya.

Kah Woh berkata demikian menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai penjenamaan semula Tingkatan Enam, beliau menjelaskan KPM memberi tumpuan kepada aspek kemudahan dan infrastruktur pusat Tingkatan Enam selain mempertingkat sukatan pelajaran peperiksaan STPM.

Jelasnya, di bawah rancangan itu, kementerian menyenaraikan tujuh objektif antaranya menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan utama dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.

Turut sama dipertingkatkan, katanya, ialah sistem pendidikan Tingkatan Enam agar lebih menarik dan setanding dengan sistem pendidikan prauniversiti yang lain.

“(Selain itu) meningkatkan kebolehpasaran lepasan STPM sama ada dalam dan luar negara; menyediakan lebih banyak peluang kerjaya dan prospek untuk lepasan STPM; memupuk sifat kepimpinan dalam diri pelajar Tingkatan Enam serta membangunkan profesionalisme guru Tingkatan,” katanya lagi.

BACA JUGA Cabaran Kerajaan Perpaduan, yang penting tiada kes sakau