Kes tragis Esha: 9 saksi dirakam keterangan

Kes tragis membabitkan buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 30, di TikTok menyaksikan sembilan individu sudah dirakam keterangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, rakaman percakapan itu diambil bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat mangsa pada 4 Julai lalu, sebelum ditemui meninggal dunia keesokan harinya.

“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini sembilan saksi termasuk ahli keluarga mangsa sudah dirakam keterangan.

“Namun begitu, masih tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya, dipetik Berita Harian.

Terdahulu, seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung fitnah dan ugutan terhadap Esha susulan laporan polis daripada seorang pengguna TikTok pada 6 Julai lalu.

Laporan dibuat seorang lelaki berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang berhubung ugutan diterima Esha menerusi dua akaun TikTok yang didakwa melemparkan fitnah serta ugutan terhadap wanita itu.

Ahmad Sukarno dilaporkan berkata, kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun media sosial suspek.

Namun, katanya hasil semakan polis mendapati dua hantaran itu disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok berkenaan.

Susulan itu, polis menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor pada jam 1.45 pagi semalam.

Wanita berkenaan kini direman tiga hari sehingga esok dan polis dalam usaha untuk mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Sebelum ini, Rajeswary ada membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya dan laporan dibuat di Balai Polis Sentul.

Walau bagaimanapun, Esha ditemukan mati di kediamannya di Gombak Setia, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu.

BACA JUGA Cabaran Kerajaan Perpaduan, yang penting tiada kes sakau