‘Kalau kita masih kusut dengan fahaman jahiliah…’ – Ini pesan PM depan dua tokoh Maal Hijrah 1446H

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa fahaman yang sempit dan ketaasuban perlu ditinggalkan dengan memilih ilmu serta kefahaman demi kemaslahatan ummah.

Perdana Menteri turut mengajak umat Islam bangkit bermula dengan pembersihan jiwa, hati nurani dan kehidupan.

“Kalau kita masih kusut dengan fahaman jahiliah, kejahilan, kezaliman dan penindasan, maka kita tidak boleh mengisi (diri) dengan fahaman baharu dan tindakan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M di Putrajaya malam ini.

Dalam masa sama, teraju Kerajaan Perpaduan itu menyeru umat Islam untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah.

Jelasnya, penghayatan itu amat bermakna bagi mengubah diri umat Islam ke arah budaya baharu, akidah baharu, keyakinan dan pemikiran baharu serta sistem kemasyarakatan yang baharu.

“Ini untuk mengingatkan kita bahawa semangat hijrah ialah semangat perubahan. Mudah-mudahan semangat hijrah ini kita dapat bawa perubahan dalam masyarakat.

“Kita harus bangun dan mulakan kesedaran bermula dengan pembersihan jiwa, hati nurani dan kehidupan.

“Barulah boleh diisi dengan nilai baharu dan semangat baharu,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Harga petrol, diesel kekal hingga 17 Julai