Peruntukan pembangunan meningkat, Terengganu tidak pernah dipinggir

Terengganu ditadbir pembangkang tidak pernah dianaktirikan kerana setakat tahun ini sahaja, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM7.23 bilion untuk pelbagai projek pembangunan di negeri itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding RM5.99 bilion yang telah disalurkan pada tahun 2022.

Justeru katanya, tidak benar jika ada pihak mendakwa Terengganu tidak diberi perhatian.

“Sebelum saya menjadi Perdana Menteri, keseluruhan perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, pemberian pada negeri dan pembangunan negeri Terengganu adalah sebanyak RM5.9 bilion.

“Pada tahun 2024, jumlah itu kita tambah daripada RM5.9 bilion iaitu hampir RM6 bilion kepada RM7.23 bilion untuk keseluruhan pembangunan Persekutuan dan projek negeri… maksudnya bertambah.

“Tak berapa benar Terengganu tak diberi perhatian. Dalam kerajaan pimpinan, saya beri jaminan pada Menteri Besar kalau ada cadangan yang baik dan selari dengan dasar bersama, kita akan laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang, Marang.

Sementara itu Anwar berkata, keutamaan ketika ini adalah menjaga kepentingan rakyat serta menoktahkan kemiskinan tegar.

“Keutamaan yang sering saya tekankan mesti menyantuni rakyat paling susah, noktahkan kemiskinan tegar.

“Terima kasih kepada seluruh jentera negeri yang beri kerjasama baik dapat memenuhi matlamat tersebut,” katanya lagi.

BACA JUGA Dewan Rakyat cemas, Anthony Loke sesak nafas ketika sesi jawab lisan