Syed Saddiq muncul ‘trending’ dihujani kecaman, komuniti pelari ultra analisis ‘pencapaian’

Nama Syed Saddiq Abdul Rahman muncul ‘trending’ dihujani kecaman warganet terutama dalam komuniti pelari ekoran ‘pencapaian’ Ahli Parlimen Muar itu dalam Triathlon Desaru 2024.

Perlumbaan yang melibatkan aktiviti renang dengan jarak sejauh 2 kilometer (km), berbasikal (90 km) serta larian sejauh 21 km itu mulanya menyaksikan Syed Saddiq dinobatkan sebagai di tempat ketiga.

Namun, selepas heboh keraguan terhadap rekod diperoleh bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, Syed Saddiq akhirnya berulang kali menyebut wujudnya ‘kesilapan yang jujur’.

Rata-rata komuniti pelari ultra berpendapat pengakuan dan permohonan maaf daripada bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu berlaku selepas rekod ‘luar biasa’ tersebut dipertikai.

Kemenangan Syed Saddiq di tempat ketiga itu dipertikai memandangkan catatan masa untuk acara berbasikal dilihat terlalu laju berbanding perserta lain.

Tidak kurang juga yang turut mempersoal ‘rekod’ larian ultra Syed Saddiq yang diuar-uarkan sejauh 200 km selama tiga hari dan berakhir pada 1 Julai lalu memandangkan tiada rekod dalam aplikasi Strava.

Antara pengguna media sosial yang memperincikan persoalan terhadap rekod diperoleh Syed Saddiq dalam Triathlon Desaru 2024 hujung minggu lalu itu ialah pelari ultra, Harris Nasril.

Beliau berkata, bagi segmen berbasikal, Syed Saddiq habis berbasikal lebih cepat berbanding pemenang yang bergelar juara kerana pusingan pertama tidak cukup jarak.

“Dieter Velter (juara) berbasikal dia ambil masa 2 jam 37 minit, 47 saat.

“Syed Saddiq (kini DNF – Did Not Finish) km berbasikal dia ambil masa 2 jam 37 minit 23 saat.

“Berbasikal dalam acara tersebut adalah pada jarak 90 km (30 km satu pusingan). Jarak keseluruhan Syed Saddiq adalah cuma 72 km,” ujarnya.

Menurutnya, jika dipecahkan dengan menganggap pusingan kedua dan ketiga adalah betul 30 km, maka pusingan pertama beliau adalah 72 – 60 = 12 km.

“Bermakna pada pusingan pertama itu jarak beliau adalah 12 km sahaja.

“Beliau (Syed Saddiq) mendakwa dia termasuk pusingan untuk acara pusingan ‘olimpik’, bukan acara pusingan ‘113’,” ujarnya.

Sehubungan itu, Harris turut mempersoal bagaimana Syed Saddiq tidak menyedari dia mengambil masa terlalu singkat pada pusingan pertama semasa berbasikal.

“Takkanlah Syed Saddiq tak perasan, ‘split time’ beliau untuk pusingan 1 beliau 13 minit sahaja, berbanding satu jam lebih untuk pusingan 2 dan 3? Bendera merah sangat dah tu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempertikai status DNF iaitu tidak berjaya menghabiskan perlumbaan yang diperoleh Syed Saddiq selepas tular kemenangannya di tempat ketiga dalam perlumbaan itu.

“Dalam kes ini, sudah disahkan tidak cukup jarak, maka status yang sepatutnya adalah DQ (disqualified) bukannya DNF (Did not finish),” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Syed Saddiq seharusnya memulangkan trofi yang dimenangi dan memberikannya kepada pihak yang sepatutnya menang di tempat ketiga.

BACA JUGA Harga petrol, diesel kekal hingga 17 Julai