Lima menara masjid cecah RM225,000, Dusuki dinasihat buat perkara lebih bermanfaat

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani mengundang kritikan orang ramai apabila dilihat berbelanja besar membina lima menara masjid hasil sumbangan awam.

Menerusi kenyataan di Facebook, Dusuki memberitahu sudah tiba giliran menara yang kelima untuk disiapkan di Maahad Tahfiz An Nabawi (Matan) yang tidak dinyatakan lokasinya.

“Setiap menara berharga RM45,000 untuk disiapkan. Ia menjadi bumbung kepada masjid yang indah ini.

“Sahabat yang berniat untuk arwah ibu dan ayah yang telah meninggal dunia, bolehlah terus ke CIMB… ,” katanya yang merupakan pengasas dan pemegang amanah Yayasan An Nabawi (YAN).

Bagaimanapun, rata-rata maklum balas orang ramai dilihat menegur perbelanjaan besar hasil sumbangan derma untuk perkara yang bukannya satu keperluan.

Antaranya, pengguna Facebook Abdullah Sr yang menegaskan bahawa Islam tidak mewajibkan pembinaan kubah atau menara sehingga menelan ratusan ribu ringgit.

“Kalau duit sendiri ikut sukalah. Ini guna duit derma. Cakap bodoh nanti marah, tapi inilah scammer agama sekarang,” tegasnya.

Sementara itu, Faiz Asyraf pula membandingkan Masjid Tok Guru Pulau Melaka yang sinonim dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mantan Mursyidul Am Pas.

“Masjid Tok Guru Pulau Melaka ada sebuah saja kubah. Bukan benda wajib pun kubah.

“Guna pitih sendirilah Ustaz kalau nak mewah, dana awam guna sebaiknya,” nasihatnya.

Hal sama turut dibangkitkan oleh Aisyah Mahmud yang berpendapat lebih wajar hasil derma yang diperoleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat termasuk menambahbaik keperluan pelajar berbanding membuat binaan untuk nampak mewah.

“Banyak lihat tahfiz yang minta sumbangan dana orang ramai buat benda yang tak banyak manfaat. Lepas itu tak cukup minta lagi semata-mata nak buat benda macam ni.

“Tengok asrama pelajar bukan main zuhud lagi. Masjid merelip dengan kemewahan yang bukan keperluan,” tempelak Aisyah lagi.

Semakan Harapandaily di laman web YAN mendapati terdapat empat maahad tahfiz disenaraikan iaitu di Machang, Kelantan; Seksyen 8, Shah Alam, Selangor; Ayer Hangat, Langkawi dan Jerantut, Pahang.

Yayasan itu turut mengelolakan Kolej Islam An Nabawi (Kian) di Seksyen U12, Desa Alam, Shah Alam.

BACA JUGA Heboh Kedah ‘bercawat’, ramai menanti dalil

Â